Sunday, March 1, 2009

PERKHEMAHAN UJI CEKAP 2009

KERTAS KERJA DASAR

PERKHEMAHAN UJI CEKAP 2009

  1. Muqaddimah

Jabatan Ekstra Kurikulum sentiasa berusaha gigih untuk mencapai visi dan misi sekolah bagi melahirkan pelajar soleh wa musleh. Perkhemahan Uji Cekap adalah program tahunan yang bertujuan untuk menguji kemahiran kadet-kadet Tingkatan Tiga selepas melalui proses pembelajaran berterusan selama dua tahun. Perkhemahan ini diharapkan dapat dijadikan medan untuk mengukur sejauh mana penghayatan mereka terhadap ilmu yang telah dipelajari dan menguji kebolehan dan kecekapan mereka dalam menghadapi apa jua rintangan yang bakal mereka tempuhi.

Bagi memenuhi hasrat tersebut, Jabatan Ekstra Kurikulum akan mengadakan kerjasama dengan Jabatan Tarbiyyah dalam menjayakan program tersebut untuk memberi satu kefahaman yang jelas kepada semua pihak terutama kepada murid-murid bahawa tarbiyyah yang dipelajari di sekolah bukan sahaja perlu diamalkan di sekolah atau sewaktu program tarbiyah sahaja, sama seperti kemahiran yang diajar di dalam syabab bukan sahaja perlu diamalkan di dalam perkhemahan atau sewaktu program syabab sahaja, tetapi sepatutnya semua ilmu, kemahiran, dan didikan yang dipelajari hendaklah diguna pakai dan diamalkan pada semua keadaan, tempat dan masa. Sebagai contoh, ada segelintir murid-murid yang gagal untuk mematuhi peraturan sekolah walaupun mudah seperti berpakaian kemas dan menepati masa padahal mereka mampu menunjukkan disiplin yang sangat baik dalam syabab. Sama juga halnya apabila ada sebilangan murid-murid yang menunjukkan contoh akhlak dan amalan yang baik sepanjang program tamrin seperti menutup aurat dengan sempurna dan qiamullai tetapi meninggalkan amalan tersebut sebaik sahaja program tamat.

Jabatan Ekstra Kurikulum dan Jabatan Tarbiyyah memandang serius akan hal ini dan mengharapkan kepincangan tersebut dapat diperbetulkan melalui kerjasama kedua-dua belah pihak dalam Perkhemahan Uji Cekap pada tahun, insya-Allah.

  1. Objektif

Perkhemahan ini diharapkan dapat mencapai semua objektif yang telah digariskan seperti berikut:

    1. Memberi satu kefahaman yang jelas kepada murid-murid bahawa Islam adalah

satu cara hidup dan segala ajarannya hendaklah diamalkan dalam semua aspek kehidupan dan pada semua keadaan.

    1. Memberi kesedaran kepada murid-murid untuk mematuhi peraturan sekolah dengan penuh rasa tanggungjawab.
    2. Mendidik murid-murid supaya sentiasa bersiap-sedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi apa jua kemungkinan yang bakal berlaku.
    3. Melatih murid-murid menjadi ketua yang mampu memimpin pasukan dengan baik atau menjadi pengikut yang mampu menunjukkan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada pemimpin.
    4. Memupuk semangat juang yang tinggi untuk meninggikan syiar dan mempertahankan

kesucian Islam.



  1. Tema

“Ibarat Singa di Siang Hari, Abid di Waktu Malam”

Kita mahu melahirkan generasi yang kuat dan bertaqwa, bukan seperti buih di lautan yang banyak tetapi tidak berguna (lemah dan rapuh imannya)

  1. Tempat
Batang Kali, Ulu Yam

  1. Tarikh dan Masa

13, 14 dan 15 Mac 2009 (Jumaat, Sabtu dan Ahad)


  1. Anjuran

Jabatan Ekstra Kurikulum dan Jabatan Tarbiyyah, Sekolah Menengah Islam Al-Amin, Gombak.

  1. Kerjasama
Alumni

Jabatan Pertahanan Awam (JPA 3)

  1. Peserta

Seramai 170 orang terdiri daripada:

1) 135 orang murid-murid Tingkatan 3 (termasuk 15 orang murid Tingkatan 4)

2) 20 orang AJK

3) 4 orang Alumni

4) 2 orang JPA 3

5) 10 orang guru

  1. Struktur Organisasi

Lihat Lampiran A

  1. Tentatif Program

Lihat Lampiran B

  1. Belanjawan

Lihat Lampiran C

  1. Penutup

Jabatan Ekstra Kurikulum dan Jabatan Tarbiyyah Sekolah Menengah Islam Al-Amin mengharapkan program ini dapat berjalan dengan lancar seperti yang dirancangkan dan berjaya mencapai semua objektif yang telah digariskan. Oleh itu, pihak penganjur amat mengharapkan kerjasama dan sokongan padu daripada semua pihak yang terlibat. Semoga segala idea, sumbangan, usaha, dan pengorbanan dapat dicurahkan dengan penuh rasa tanggungjawab dan ikhlas kerana Allah. Sesungguhnya Allah menilai semua amal perbuatan kita walaupun sekecil zarah. Jutaan terima kasih didahulukan kepada semua pihak terutama kepada Tuan Pengetua Sek Men Islam Al-Amin, Tuan Hj Mohd Hasni b Mohamed kerana sudi turun padang untuk memantapkan lagi program besar ini. Semoga Allah Yang Maha Pemurah memberkati usaha murni ini dan memberi ganjaran yang besar kepada semua yang terlibat samada secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Perkhemahan Uji Cekap 2009 ini. Amin.

“ Diri kita umpama uncang teh, kita tidak tahu akan kekuatan kita sehinggalah kita berada di dalam air panas




Disediakan oleh:

______________

(NIK WAN NURNAJMAH BT WAN RAMLI)

Pengarah Program

Perkhemahan Uji Cekap 2009

Sekolah Menengah Islam Al-Amin

No comments: